Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Monday, April 11, 2011

PENGAJARAN TOPIK IBADAT HAJI BERBANTUKAN ICT

Pendahuluan
Sistem pendidikan masa kini sedang mengalami perubahan yang amat pesat sekali.  Pelbagai kaedah baru telah diperkenal serta digunakan supaya pengajaran seseorang guru menjadi lebih berkesan dan pembelajaran murid menjadi lebih bermakna.  Sejak beberapa tahun yang lalu kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT) telah mula diperkenalkan dan kini dengan era teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin pesat, ianya semakin mendapat perhatian ramai. Hal ini adalah kerana penggunaan ICT  menjanjikan potensi besar dalam mengubah cara seseorang belajar, cara memperoleh maklumat, cara menyesuaikan setiap maklumat dan sebagainya.
Begitu juga dengan mata pelajaran Pendidikan Islam yang juga tidak dapat lari daripada tempias ledakan ICT ini. Aplikasi ICT dalam Pendidikan Islam oleh guru Pendidikan Islam telah mengubah proses P&P menjadikan ia lebih menarik dan berkesan. Hal sedemikian adalah kerana mata pelajaran Pendidikan Islam  umumnya melibatkan beberapa komponen yang dilihat bersesuaian dengan tema penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Namun, permasalahan yang dapat dilihat pada hari ini ialah penggunaan ICT dalam kalangan GPI kurang diaplikasikan terutamanya dalam pengajaran topik ibadah Haji.
Pelajaran  ibadat Haji merupakan salah satu topik yang mencabar bagi guru Pendidikan Islam (GPI) kerana ia memerlukan kepada pengetahuan yang tinggi dalam ibadat haji. Hal sedemikian telah menimbulkan kekangan dalam P&P ibadat haji bagi GPI yang belum pernah menunaikan ibadat haji atau umrah. Namun begitu, terdapat beberapa kaedah pengajaran yang berkesan dalam membantu GPI melaksanakan proses P&P bagi topik ini. Menurut Ab. Halim et al. (2004), kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan topik ibadat adalah kaedah amali dan juga pengajaran berbantukan teknologi maklumat.
Memandangkan kaedah amali bagi ibadat Haji memerlukan penggunaan masa yang panjang, perancangan yang strategik, peralatan Haji yang lengkap menyebabkan P&P ibadat Haji sukar dilaksanakan dengan baik. Justeru, guru seharusnya menggunakan kaedah pengajaran berbantukan ICT sekiranya tidak mampu melaksanakan kaedah amali. Oleh itu, dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai kaedah pengajaran ibadat Haji berbantukan ICT. 
Definisi Istilah
ICT adalah singkatan daripada Information Communication and Technology yang bermaksud sesuatu alat teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data yang berkaitan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah ia merupakan penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Azwan et al. 2005).
Blurton (2004) pula menyatakan komputer merupakan satu alat dan sumber teknologi untuk berkomunikasi, mencipta, menyimpan dan juga untuk menguruskan maklumat. Kepelbagaian aplikasi dalam pengurusan, penyimpanan dan juga penyampaian maklumat merupakan sub kategori yang terkandung dalam ICT. Berikut adalah contoh aplikasi yang digunakan dalam memproses maklumat yang dikatakan sebagai perisian komputer.
Application
Use

Word processing
E.g. Microsoft Word: Write letters, reports etc
Spreadsheets
E.g. Microsoft Excel; Analyse financial information; calculations; create forecasting models etc
Database software
E.g. Oracle, Microsoft SQL Server, Access; Managing data in many forms, from basic lists (e.g. customer contacts through to complex material (e.g. catalogue)
Presentation software
E.g. Microsoft PowerPoint; make presentations, either directly using a computer screen or data projector. Publish in digital format via email or over the Internet
Desktop publishing
E.g. Adobe Indesign, Quark Express, Microsoft Publisher; produce newsletters, magazines and other complex documents.
Graphics software
E.g Adobe Photoshop and Illustrator; Macromedia Freehand and Fireworks; create and edit images such as logos, drawings or pictures for use in DTP, web sites or other publications

Kepentingan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam
Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah membawa kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan.  Sejak tercetusnya penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran,  inovasi telah  berlaku dalam segala bentuk urusan pendidikan sama ada urusan pengajaran guru, pembelajaran pelajar  ataupun pentadbiran sekolah. Kemajuan ICT seperti internet, laman web (web page) dan jaringan (networking) dan sebagainya telah berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih  efektif dan kondusif. Perkembangan baru ini telah mewujudkan persekitaran pembelajaran baharu yang lebih fleksibel dari segi masa, tempat, kaedah dan bahan pembelajaran (Robiah dan Nor Sakinah, 2007).
Menurut Rusmini (2009), pengajaran dan pembelajaran berbantukan ICT telah membawa sikap yang positif kepada pelajar kerana ICT menyediakan peluang yang luas dalam aktiviti pembelajaran berbanding kaedah tradisional. Oleh itu, dengan menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran maklumat dapat bertukar dalam mod digital, dan kurikulum pendidikan boleh berkembang dengan menggabungkan elemen multimedia dan interaktif untuk membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik untuk pelajar dan guru.
Selain itu, menggabungkan multimedia dalam kelas telah menjadi satu trend yang global, sokongan kuat dari pihak kerajaan Malaysia dalam menggabungkan teknologi di bilik darjah. Pendekatan dalam pengajaran, menyediakan pengisian dan penyampaian bahan pembelajaran perlu diubahsuai mengikut kewujudan teknologi. Guru dapat mengintegrasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran menarik minat pelajar untuk belajar (Rahmad Sukor dan Mohd Subhi (2001).
Menurut Mohd Izham dan Norazah (2007), penggunaan ICT adalah suatu keperluan yang amat penting dalam segala urusan. Ada sesetengah guru yang dibekalkan dengan komputer riba (laptop), dan ada juga guru yang tidak dibekalkan dengan komputer riba. Namun begitu, terdapat isu yang perlu ditangani oleh pentadbir sekolah yang mana terdapat guru yang tidak mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran walaupun kemudahan ICT telah disediakan.  Hal sedemikian telah mengekangkan proses integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya dan menyebabkan berlaku kerugian yang besar kepada semua pihak terutamanya kepada para pelajar dan juga sekolah.
Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam kini, kepentingan penggunaan ICT dapat dilihat melalui keberkesanan belajar dalam kalangan pelajar. Sebagaimana kajian yang dilakukan oleh Ab. Halim et al. (2004), Zarin dan Ab. Halim (2006), Ab. Halim et al. (2010), Robiah dan Nor Sakinah (2007), mendapati pelajar yang diajar dengan menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran mudah untuk memahami pelajaran dan dapat menghasilkan kerja yang berkualiti tinggi. Hal ini disokong dengan kajian Siti Fatimah dan Ab. Halim (2010) yang mendapati  para guru mengakui bahawa pengajaran dan pembelajaran mendatangkan keberkesanan sekiranya menggunakan teknologi multimedia sebagai salah satu bahan bantu mengajar (BBM).
Tambahan lagi, dengan menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, peranan guru telah berubah dari instruktor ke fasilitator. Pengajaran berasaskan kaedah eksposisi telah berubah kepada pengajaran yang membolehkan pelajar melakukan eksplorasi sama ada secara individu atau dalam kumpulan kecil. Peluang pembelajaran individu telah diberi kepada pelajar untuk membolehkan mereka belajar secara akses kendiri, terarah kendiri dan mengikut kadar yang sesuai dengan kebolehannya (Rahmad Sukor dan Mohd Subhi 2001). Dengan ini, pembelajaran kendiri dapat dijalankan secara individu di kalangan pelajar.
Sebagai kesimpulan, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting yang harus diaplikasikan oleh para pendidik. Sokongan oleh pentadbir pendidikan kepada guru dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajran dan pembelajaran seharusnya adalah secara berterusan. Tidak dinafikan tidak semua sekolah mempunyai kemudahan ICT yang lengkap dan sempurna. Namun begitu, hal ini dapat diatasi dengan peranan pentadbir dalam menangani masalah ini. Sesungguhnya dengan mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran mampu mengubah kaedah, teknik dan juga strategi pengajaran guru menjadi satu pengajaran yang menarik minat pelajar. Justeru itu, para guru seharusnya sedar mengenai kepentingan ICT dalam pendidikan supaya pendidikan dapat dibangunkan selaras dengan era globalisasi.
Huraian Ringkas Sukatan Pelajaran  Ibadat Haji Tingkatan Empat
Pendidikan Islam KBSM dilaksanakan adalah bermatlamat menghasilkan pelajar Islam yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara (KPM 2002). Hal ini dipertegaskan lagi oleh Ab.Halim dan Zarin (2006) yang melihat pendidikan Islam secara langsung berperanan mendidik dan membentuk individu muslim yang bukan sahaja berakhlak dan beriman tetapi sentiasa mengalami perubahan demi menambah baik dan mempertingkatkan keberkesanan dalam pendidikan akhlak pelajar. Matlamat akhir dalam proses pendidikan ialah melahirkan pelajar yang mempunyai asas ilmu yang baik, bermaklumat dan berketrampilan serta memiliki kekuatan dalam menghubungkan dirinya kepada Allah (Sidek Baba 2011).
            Dalam konteks pembelajaran ibadat Haji, ia adalah untuk melengkapkan diri para pelajar dengan rukun Islam yang mana komponen kurikulum ibadat mestilah bersama-sama diterapkan dalam kurikulum Pendidikan Islam. Ibadat Haji merupakan komponen kurikulum P&P yang banyak mengandungi unsur amali kerana ibadat Haji merupakan antara ibadat yang bertujuan melahirkan muslim dan mukmin yang bertakwa, beramal soleh, bertanggungjawab dan berakhlak mulia dan beristiqamah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Antara perbezaan utama pelajaran ibadat berbanding pelajaran akidah, hadis, tilawah, adab dan sebagainya ia lebih konkrit kerana ia melibatkan perbuatan dan kata serta penghayatan (KPM 2002).  
Dalam pembelajaran ibadat Haji, setiap sub topik saling berhubung dan berkait antara satu sama lain. Pengaturan kurikulum Pendidikan Islam dalam konteks pembelajaran ibadat Haji adalah dari ibadat yang asas hingga ibadat yang khusus. Ia bertujuan untuk memudahkan para pelajar dapat belajar, menghayati dan mengamalkan komponen ibadat dalam kehidupan seharian. (KPM 2002).  Antara tajuk-tajuk yang terdapat dalam topik pembelajaran ibadat Haji tingkatan empat ialah:
Pelajaran 13: Lambaian Kaabah
Unit 1: Kewajipan Haji dan Umrah
Unit 2: Cara Menyempurnakan Ibadat Haji dan Umrah
Unit 3: Wajib Haji dan Umrah
Unit 4: Cara Mengerjakan Haji dan Jenis-Jenis Dam
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berkesan Pelajaran Ibadat Haji
Kaedah merupakan satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dalam jangka masa pendek. Menurut Ab. Halim dan Nik Mohd Rahimi (2010), kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah pencapaian yang tersusun. Khadijah Abdul Razak dan Shahrin Awaludin (2006) pula menceritakan kaedah itu bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Manakala Zarin Ismail dan Ab. Halim Tamuri (2006) mengatakan kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Oleh itu, apa yang dapat difahami adalah kaedah pengajaran adalah satu jalan atau cara penyampaian ilmu kepada murid-muridnya. Keberkesanan keadah yang digunakan dalam pengajaran tersebut adalah bergantung kepada kemahiran guru itu.
Begitu juga dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, pelbagai kaedah pengajaran yang boleh digunakan oleh GPI untuk memastikan ilmu yang disampaikan berkesan dan dapat dihayati oleh para pelajar. Bahkan setiap topik dalam mata pelajaran ini perlu menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza kerana ia bergantung kepada topik yang hendak diajar  (Kamarul Azmi dab Ab. Halim, 2007). Manakala proses pengajaran merupakan satu seni kerana dalam proses ini, seseorang guru itu perlu kreatif untuk menarik perhatian para pelajarnya. Guru yang kreatif akan menjadikan pengajaran lebih berkesan dan menarik. Pengajaran yang berkesan merupakan kebolehan guru itu sendiri untuk mengajar dengan baik dan berkesan, dan dapat memotivasikan pelajar untuk terus belajar bagi mencapai kecemerlangan (Rusnani dan Rosseni, 2006).
Hal ini selari dengan pandangan Rusmini (2009) yang berpendapat pengajaran berkesan dapat dianalisa berdasarkan kepakaran seseorang guru itu mengaplikasikan pelbagai kaedah mengajar yang memudahkan pemahaman pelajar, menanam minat pelajar untuk belajar dan mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam membantu pembelajaran pelajar. Keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan menimbulkan kesan yang mendalam dan impak besar kepada perubahan tingkah laku pelajar kepada tingkah laku baik.
Oleh yang demikian, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan perlu dilaksanakan oleh setiap guru bagi memastikan kandungan ilmu yang hendak disampaikan boleh diterima, difahami dan dihayati oleh pelajar. Ini jelas dihuraikan dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam KBSM,
“bidang-bidang pembelajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui cara yang lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas, mampu mengubah dan membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai daya fikir yang cemerlang, berakhlak mulia, bersefahaman, bersyukur dan bersatu padu. Pengolahan yang demikian rupa hendaknya mampu menghasilkan tamadun ummah yang tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara”.
Setiap kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru mesti mampu sampai ke peringkat kefahaman dan penghayatan pelajar (Rahmad Sukor dan Mohd Subhi, 2001). Pengajaran yang berkesan merupakan kebolehan guru itu sendiri untuk mengajar dengan baik dan berkesan, dan dapat memotivasikan pelajar untuk terus belajar bagi mencapai kecemerlangan. Menurut Ab. Halim (2006) terdapat beberapa asas untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam berkesan. Antaranya penguasaan ilmu yang luas dan mendalam, kemahiran komunikasi berkesan dalam pengajaran yang merangkumi kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan dan pembelajaran teraputik, kaedah dan teknik pengajaran, kemahiran-kemahiran khusus bidang Pendidikan Islam dan profesionalisme guru.
Justeru itu, penulisan ini akan membincangkan dan mengupas beberapa cadangan mengenai kaedah yang berkesan khususnya bagi pembelajaran Ibadat Haji Tingkatan Empat. Secara keseluruhannya terdapat pelbagai kaedah yang sesuai dan boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ibadat. Kaedah pengajaran seperti kaedah lawatan, kaedah demonstrasi, simulasi, PBK dan sebagainya adalah antara kaedah yang boleh dilaksanakan (Kamarul Azmi & Ab.Halim 2007). Tetapi, dalam artikel ini penulis akan mengkhususkan perbincangan mengenai kaedah pengajaran pelajaran ibadat Haji berbantukan ICT. Kaedah ini merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang boleh diaplikasikan bagi tajuk ibadat Haji. Penulis memilih untuk membincangkan isu ini kerana penulis mendapati kaedah pengajaran berbantukan ICT ini lebih sesuai digunakan dalam bilik darjah. 
Aplikasi Kaedah Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK)  Pelajaran Ibadat Haji
Sistem pendidikan masa kini sedang mengalami perubahan yang amat pesat sekali.  Pelbagai kaedah baru telah diperkenal serta digunakan supaya pengajaran seseorang guru menjadi lebih berkesan dan pembelajaran murid menjadi lebih bermakna.  Sejak beberapa tahun yang lalu kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PBK) telah mula diperkenalkan dan kini dengan era teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin pesat, ianya semakin mendapat perhatian ramai.
Menurut Ab. Halim et al. (2004), perkembangan dalam teknologi multimedia pula menjanjikan potensi besar dalam merubah cara seseorang belajar, cara memperolehi maklumat, cara menyesuaikan setiap maklumat dan sebagainya. Multimedia juga menyediakan pelbagai peluang kepada guru Pendidikan Islam mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran dan pelajar pula diberi peluang untuk memegang kuasa kawalan bagi sesuatu sesi pembelajaran. Pelajar juga berpeluang untuk menentukan teknik belajar yang bersesuaian dengan mereka, membentuk pengetahuan berdasarkan keperluan masing-masing serta mengalami suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.
 Liew Voon Kiong (2009) mengatakan sumber maklumat serta rujukan juga bukan lagi terikat dengan teks dari buku semata-mata tetapi lebih luas dari itu. Kehadiran teknologi multimedia menerusi Internet menambahkan lagi kemampuan proses capaian maklumat di mana setiap maklumat dalam pelbagai bentuk dan pendekatan boleh dicapai dengan lebih mudah dan pantas. Dalam sesuatu pengajaran secara tradisi, walaupun ianya menjanjikan kejayaan yang tidak boleh dipertikaikan namun demikian ianya juga membawa bersamanya pelbagai masalah dan kekangan.
Dalam pengajaran ibadat Haji, komunikasi sehala banyak berlaku di mana seseorang guru memainkan tugas utama sebagai penyalur maklumat manakala pelajar pula hanya perlu duduk, mendengar dan mencatatkan isi penting yang diperlukan. Persembahan sebegini sememangnya boleh mengurangkan minat pelajar terhadap matapelajaran tersebut dan seterusnya mengkategorikan ianya sebagai satu matapelajaran yang sukar untuk difahami. Dalam sistem pendidikan tradisi ini juga, proses pengajaran dan pembelajaran hanya melibatkan dua entiti utama sahaja iaitu di antara guru dan pelajar. Di samping itu, ia juga lebih banyak menggunakan konsep hafalan terhadap fakta-fakta yang diberikan oleh guru.
Oleh itu, cabaran di dalam melaksanakan pendidikan berbantukan komputer (PBK) di dalam pengajaran ibadat Haji ialah kurangnya individu serta pihak yang beranisiatif membangunkan perisian tempatan untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kebanyakan yang berkualiti dihasilkan di negara lain yang majoritinya kurang sesuai dengan bahasa, sukatan, nilai, dan ciri budaya masyarakat Malaysia. Menurut Robiah dan Nor Sakinah (2007) yang mendapati kebolehan membangunkan perisian untuk tujuan pendidikan di sekolah adalah pada tahap yang rendah.
Menurut Ab. Halim dan Nik Rahimi (2010), kebanyakan guru Pendidikan Islam lebih memberi tumpuan kepada pembelajaran berpusatkan guru sahaja dan kurang memberi penekanan kepada pendekatan 'student center' dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengenalan kepada perisian multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran adalah suatu peluang dan ruang kepada guru-guru bagi menjadikan proses pendekatan mereka lebih variasi, menarik dan menyeronokkan, pada masa yang sama para pelajar mudah faham pelajaran, tidak membosankan dan para pelajar mampu belajar sendiri (Mohd Izham dan Norazah, 2009).
Zaidi dan Ab. Halim (2010) mengatakan pemahaman pembelajaran pelajar dengan menggunakan kaedah PBK adalah lebih tinggi dan hasilnya adalah lebih baik berbanding dengan kaedah pembelajaran tradisional. Ini dikukuhkan lagi oleh ahli psikologi kognitif, yang telah mengemukakan satu konsep pembelajaran yang menekankan kepada penemuan oleh pelajar itu sendiri seperti perisian PBK. Ini bermakna pelajar diberi peluang untuk mencari sesuatu konsep sendiri di mana pengajaran guru tidak memberi kesemua isi pelajaran, pelajar sendiri perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Justeru, bagi mendepani senario dan masalah yang dihadapi, penulis akan menghuraikan kaedah pembelajaran berbantukan ICT yang sarat dengan kepelbagaian media bagi membimbing para pelajar menimba ilmu pengetahuan secara kendiri. Pada perbincangan seterusnya penulis akan membincangkan bagaimana kaedah pengajaran ibadat Haji berbantukan ICT dengan menggunakan perisian Microsoft Power Point dan laman web.
Kaedah Pengajaran Ibadat Haji Menggunakan Perisian Microsoft Office Power Point
Menurut Zaidi dan Ab. Halim (2010), kaedah PBK amat sesuai untuk digunakan oleh guru Pendidikan Islam, terutamanya bagi menunjukkan cara mengerjakan ibadat seperti haji, wuduk dan solat. Dengan menggunakan teknik ini pelajar dapat melihat dan membayangkan fenomena yang dipaparkan dengan jelas. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran ibadat Haji lebih berkesan  dan pelajar pula mudah untuk memahami pengajaran yang diajar.
            Walaupun begitu, persoalan yang timbul adalah bagaimana hendak membina perisian dalam pengajaran ibadat Haji. Umum mengetahui tidak semua guru Pendidikan Islam mahir dengan perisian komputer dan boleh menafaatnya dengan baik. Tetapi bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sebenarnya terdapat perisian yang paling kerap dan mudah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu perisian Microsoft Power Point. Perisian ini sebenarnya telah menggantikan bahan bantu mengajar (BBM) konvensional seperti kertas mahjung, kad imbasan, kad bergambar dan sebagainya.  Bahkan perisian Microsoft Power Point telah mengurangkan kos pembelian BBM Pendidikan Islam dan membantu pihak sekolah menjimatkan kos perbelanjaan.
Perisian Mocrosoft Power Point mempunyai fungsi yang pelbagai yang mana ia boleh menggabungkan antara tulisan, gambar, video dan suara. Walaupun terdapat perisian komputer yang lain yang boleh diaplikasikan dan pembinaan BBM ibadat Haji seperti Adobe Photoshop CS2, Ulead Cool 3D 3.5, Sony Sound Forge 8.0, Ulead GIF Animator 5.0, Macromedia Flash 8.0, Macromedia Authorware 7.0 dan Sony Vegas 7.0. Penggunaan Microsoft Power Point dalam penghasilan perisian adalah mudah namun keupayaannya adalah terhad apabila sesebuah perisian yang dibangunkan memerlukan penggunaan banyak media seperti visual grafik, video dan audio. Walaupun begitu, adalah wajar untuk menguasai penggunaan perisian multimedia yang lain supaya media-media seperti audio, visual dan video yang bersesuaian serta berkualiti tinggi dapat digunakan dalam pembangunan perisian multimedia yang berasaskan Microsoft Power Point. Penilaian formatif dan sumatif juga boleh dimuatkan dalam sesi pengajaran serta sesi latihan. Glosari juga dimasukkan serta sokongan rangkaian komputer ang membenarkan guru membuat penerangan lanjutan serta menyampaikan maklumat terkini kepada pelajar. Aplikasi perisian ini banyak membantu pengajaran ibadat Haji menggantikan kaedah amali.
Contoh Aplikasi Perisian Microsoft Office Power Point Ibadat Haji






Kaedah Pengajaran Ibadat Haji Berbantukan Laman Web
Sejak beberapa tahun yang lalu, teknologi yang begitu dominan serta mendapat tempat dalam kebanyakan aspek kehidupan manusia ialah penggunaan World Wide Web atau Internet (Norazah dan Ngau Chai Hong, 2009). Teknologi ini begitu berkembang pesat dan ianya turut memberi kesan kepada sistem pendidikan sama ada pendidikan sains mahupun agama. Pembelajaran Pendidikan Islam menerusi Internet atau web merupakan antara pendekatan baru yang semakin mendapat perhatian golongan pendidik. Tambahan lagi laman web adalah alat ICT yang paling berkesan khususnya dalam Pendidikan Islam (Norhatimah dan Ab.Halim 2010).
            Justeru itu, dalam pengajaran ibadat Haji, penggunaan laman web sangat membantu guru-guru dan juga pelajar mendapat informasi yang banyak dengan mudah dan senang. Dengan hanya menekan hujung jari dalam sekelip mata sahaja maklumat yang ingin dicari terpampang di skrin monitor. Menurut Kamarul Azmi dan Ab. Halim (2007), Penggunaan peralatan teknologi pendidikan seperti komputer dan internet oleh guru Pendidikan Islam merupakan salah satu kaedah yang berkesan dalam proses P&P.
            Rusnani dan Rosseni (2006) menyatakan bahawa penggunaan internet dalam P&P boleh mengubah minat pembelajaran dan motivasi seseorang pelajar. Maklumat yang dipaparkan melalui laman web yang dipengaruhi oleh warna, gambar, video dan sebagainya lebih menarik daripada buku. Oleh itu, penggunaan laman web dalam P&P merupakan kaedah pengajaran yang sangat efektif dan boleh mendorong para pelajar belajar sepanjang masa dan tidak kira di mana berada.  
            Penggunaan laman web dalam P&P ibadat Haji juga sangat membantu guru Pendidikan Islam menambah maklumat mengenai ibadat Haji di samping memudahkan penyediaan bahan bantu mengajar (BBM).  Selain itu, ia juga membantu guru menjawab persoalan yang ditanya oleh pelajar yang tidak terkandung di dalam silibus pelajaran Haji. Oleh itu, pengetahuan mengenai laman web ibadat Haji sangat penting bagi guru Pendidikan Islam kerana pencarian maklumat dan persoalan ibadat Haji dapat diselesaikan sekiranya guru mengetahui sumber rujukan ibadat Haji ini. Justeru itu, laman web Haji merupakan antara alat pengajaran yang sangat membantu guru Pendidikan Islam dalam pengajaran topik ibadat Haji.
Contoh Laman Web Ibadat Haji



Kesimpulan

P&P ibadat Haji berasaskan PBK dengan menggunakan perisian Microsft Power Point  ini mengaplikasikan unsur-unsur hipermedia seperti animasi, bunyi, grafik, hiperteks, dan warna yang menjadikan persembahan sistem lebih menarik. Hal sedemikian menjadikan pelajar berasa seronok sepanjang proses P&P. Perkara  ini disokong oleh Saunders (2003) yang mendapati pendekatan P&P yang berasaskan PBK ini mesra pengguna dan mampu menarik minat pelajar kerana perisian yang digunakan memenuhi keperluan sumber pembelajaran.  Selain itu, P&P ibadat Haji berasaskan PBK ini mempunyai beberapa keistimewaan yang pada kebiasaannya jarang diaplikasikan oleh kebanyakan guru Pendidikan Islam. Contohnya untuk menimbulkan minat dan keseronokan pelajar, bahagian pengenalan boleh mewujudkan suatu situasi yang menggambarkan suasana musim Haji. Sebagai pengukuhan, ada latihan tambahan yang disediakan dalam bahagian tugasan.
            Tambahan lagi, perisian Microsoft Power Point merupakan satu perisian yang paling mudah dan senang digunakan. Namun begitu, aplikasi atau fungsi yang terdapat di dalam perisian tersebut jika tidak digunakan sebaik-baiknya ia tetap tidak dapat menarik minat pelajar. Oleh yang demikian, sebagai guru Pendidikan Islam, kemahiran dalam penggunaan ICT perlulah ditambah dan diteroka supaya kita tidak dikenali sebagai guru ketinggalan zaman. Justeru itu, guru Pendidikan Islam seharusnya sentiasa bersedia menghadapi perubahan dunia dan sentiasa mengiringi perubahan teknologi.




Rujukan
Ab. Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff. 2010. Isu Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam. Dalam Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi: UKM.
Ab. Halim Tamuri, Khadijah Abdul Razak & Shahrin Awaluddin. 2010. Kaedah Pengajaran
Pendidikan Islam: Konvensional dan Inovasi. Dalam Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi: UKM.
Ab. Halim Tamuri, Adnan Yusopp, Kamisah Osman, Shahrin Awaluddin, Zamri Abdul Rahim
& Khadijah Abdul Razak. 2004. Keberkesanan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam Ke Atas Pembangunan Diri Pelajar. Laporan Penyelidikan UKM, Kod Penyelidikan : GG002/2004.
Ab. Halim Tamuri & Zarin Ismail. 2006. Model Guru Pendidikan Islam: Konsep 5 M. Seminar
Amalan Pengajaran Guru. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Blurton, C., New Directions Of ICT-Use In Education,             http://www.unesco.org/education/educprog/lwf/dl/edict.pdf.
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Khadijah Abdul Razak & Shahrin Awaludin. 2006. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam:
Penilaian Kendiri Guru Pendidikan Islam. Seminar Amalan Pengajaran Guru. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). 2002. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 4. Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Kementerian Pelajaran Malaysia.
Liew Voon Kiong. 2007. ICT In Education – An Action Learning Approach Using Soft System
Methodology. www.iab.edu.my/Jurnal/Jurnal%202007/ICTEdu.pdf
Mahmood Zuhdi Abdul Majid. 2003. Ucaptama Perkaedahan Pengajaran Pendidikan Islam:
Antara Tradisi dan Inovasi. Wacana Pendidikan Islam (Siri 3) Peringkat Kebangsaan, Royal Adelphi, Seremban.
Mohd Izham Mohd Hamzah & Norazah Mohd. Nordin. 2007. Peranan Pentadbir Dalam Proses
Perubahan Terancang: Integrasi ICT Dan Pedagodi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. Journal Quality Monitoring of Strategic Leadership Styles. Jil. 17 Bil. 2. Pahang: Institut Aminuddin Baki.
Mohamad Fazli Madiah & Shahrin Awaludin. 2003. Satu Tinjauan Tentang Tahap Masalah
Pengajaran dan Pembelajaran KAFA Di Daerah Seremban, Negeri Sembilan. Dalam Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 3). Bangi: UKM.
Norazah Mohd. Nordin & Ngau Chai Hong. 2009. Pembangunan dan Penilaian Bahan
Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web – Webquest bagi Mata Pelajaran ICT. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1)(2009): 111 - 129
Rahmad Sukor Ab Samad & Mohd Subhi Marsan. 2001. Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Dalam Pengurusan Sekolah. Jurnal Masalah Pendidikan. Jil. 24.
Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad. 2007. ICT Dalam Pendidikan: Prospek Dan Cabaran
Dalam Pembaharuan Teknologi. Jurnal Pendidikan 32. Bangi: UKM.
Rusnani Abdul Kadir & Rosseni Din. 2006. Computer Mediated Communication: A
Motivational Strategy Toward Diverse Learning Style. Jurnal Pendidikan 31 (2006) 41 – 51.
Rusmini Ku Rahman. 2009.  Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pengajaran
dan Pembelajaran. Jurnal Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Jil. 11. Jitra: Institut Aminuddin Baki.
Saedah Siraj & Faridah Abdullah. 2005. Jangkaan Masa Depan Terhadap Aplikasi Teknologi
Dalam Kandungan Kurikulum dan Penilaian Sekolah Menengah: Satu Kajian Delphi. Jurnal Pendidikan, Universiti Malaya.
Sidek Baba. 2011. Kurikulum Pendidikan Islam dan Cabaran Perubahannya. Kovensyen
Kebangsaan Pendidikan Islam 2011.
Siti Fatimah Ahmad & Ab. Halim Tamuri. 2010. Persepsi Guru Terhadap Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar Berasaskan Teknologi Multimedia dalam Pengajaran j-Qaf. Journal of Islamic and Arabic Education 2 (2). Bangi: UKM.
Norhatimah Mohamad & AB. Halim Tamuri. 2010. Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan
Islam Berasaskan Web. Dalam Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi: UKM
Zaidi Ismail & Ab. Halim Tamuri. 2010. Pengajaran Berasaskan Komputer: Asas Perlaksanaan
Pendidikan Islam. Dalam Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Bangi: UKM.
Zarin Ismail & Ab. Halim Tamuri. 2006. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Di Bilik
Darjah: Satu Analisis Pemerhatian. Seminar Amalan Pengajaran Guru. Universiti Kebangsaan Malaysia.


http://www.tabunghaji.gov.my/th/TH/THIndex.htm
 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates