Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Saturday, April 9, 2011

FALSAFAH IBADAT HAJI DALAM PEMBENTUKAN MODAL INSAN

1.0              PENDAHULUAN
Ibadah-ibadah utama dalam Islam adakalanya dilaksanakan dengan lisan atau fizikal atau dengan harta. Solat dilakukan dengan lisan dan fizikal, puasa dengan fizikal sahaja. Zakat dengan harta sahaja. Namun istimewanya ibadah haji kerana ia dilakukan dengan lisan, fizikal dan harta. Tambahan lagi ibadah haji merupakan pelengkap rukun Islam. Rukun Islam umpama sebuah rumah di mana mengucap dua kalimah syahadah dianggap sebagai tapak dan tanah rumah itu. Solat pula merupakan cerucuknya, zakat adalah tiang-tiangnya, puasa adalah bumbung yang melindungi rumah dan haji adalah dindingnya. Jika sekiranya belum mampu memasang dindingnya, ia tidak boleh didiami.
­­            Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan. Selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental, ia juga memerlukan kepada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, berpisah dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, meninggalkan kampung halaman, menahan kemahuan nafsu dan sebagainya. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 97 yang bermaksud:
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan  Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan  sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Oleh yang demikian, dalam penulisan ini penulis dengan menghuraikan apa yang tersirat di sebalik ibadat haji berdasarkan kepada tertib permulaan ibadat sehinggalah berakhirnya ibadat tersebut. Penulis juga akan merungkaikan kehebatan ibadat haji yang mana ia benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan orang-orang mukmin.
2.0              DEFINISI ISTILAH
2.1              Ibadat Haji
Menurut Mustofa et. al (2005) menyatakan Imam Syafie mentakrifkan haji dari sudut bahasa bermaksud menuju ke suatu tempat. Manakala dari sudut syarak pula ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam dan hukumnya adalah wajib bagi Muslim yang mukalaf. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Imran : 97 yang bermaksud:
“Dan Allah Taala  mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”. 


2.2              Pembangunan Modal Insan
Secara umumnya pembangunan modal insan ini telah diperkenalkan oleh Haji Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan mantan Perdana Menteri pada tahun 2006 dalam RMK-9 iaitu dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Dasar bagi pembangunan modal insan ini adalah untuk membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Manakala matlamat pembangunan modal insan ini adalah untuk memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positif serta membina disiplin diri. Secara umumnya, pembangunan modal insan ini boleh didefinisikan sebagai membentuk atau membangunkan seseorang individu yang kamil atau sempurna dari semua aspek sama ada aspek rohani, emosi, jasmani dan intelek.

3.0              SEJARAH IBADAT HAJI
Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Menurut Said Ramadan Al-Buti (1988) ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut sumber yang masyhur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :
 “Dan Allah Taala  mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”. 

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah. Perjanjian itu telah membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya iaitu tahun ke-7 Hijrah, Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah s.a.w mengarahkan Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji Anisah (2006).
3.1       Rasulullah s.a.w Menunaikan Haji
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul Wada’ juga dinamakan Hijjatul Balagh, Hijjatul Islam dan Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam Mahayudin (2005).
Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Mekah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ. Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat.
Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.
3.2       Peristiwa Semasa Hijjatul Wada'
Menurut Muhammad (2000) semasa wuquf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :
1.  Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wuquf.
2.  Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunggangannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikapankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kapannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa “Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.
3.   Rasulullah s.a.w menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “Apakah itu Haji?”. Sabdanya yang bermaksud “Haji itu berhenti di Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
4.   Turunnya ayat suci al-Quran dalam surah Al-Maidah yang bermaksud : 
“ Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami”
Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Mekah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.
Namun begitu, penulis ingin menyatakan di sini bahawa sejarah ibadat haji ini merupakan ringkasan daripada penulisan sejarah yang sebenarnya. Oleh yang demikian, dari ringkasan sejarah ini sedikit sebanyak dapat menggambarkan peristiwa ibadat haji pada era zaman Rasulullah s.a.w. pada tulisan berikutnya, penulis akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang falsafah ibadat haji dalam membangunkan modal insan.

4.0              FALSAFAH IBADAT HAJI DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Setelah membicarakan sejarah ibadat haji dalam Islam, penulis mendapati falsafah yang tersirat di sebalik ibadat haji ini sangat memainkan peranan dalam pembangunan modal insan. Dalam membahaskan falsafah ibadat haji ini, penulis akan memfokuskan falsafah berdasarkan turutan ibadat-ibadat haji yang telah diwajibkan dari mula sehingga berakhirnya ibadat haji tersebut. Penulis juga menjadikan buku Ibadat Haji Umrah Dan Ziarah terbitan Lembaga Tabung Haji (2006) sebagai rujukan utama untuk ibadat-ibadat haji ini. Hal ini akan memudahkan penulis membahaskan tentang falsafah yang terselindung di sebalik ibadat-ibadat haji berdasarkan sumber-sumber yang sahih terutamanya yang mereka yang berpegang dengan Ahli Sunah Wal Jemaah.
4.1              Sebelum Pelaksanaan Ibadah Haji
Di dalam ajaran Islam, semua ibadat yang diwajibkan kepada umat Islam mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi supaya ibadat tersebut sah dan diterima oleh Allah s.w.t. begitu juga dengan ibadat haji, terdapat syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka yang ingin melaksanakan rukun Islam ini.
Menurut Mustofa et. al (2005) antara syarat-syarat tersebut pertama, seseorang itu mestilah beragama Islam dan orang tidak wajib bagi orang kafir. Kedua, mestilah baligh dan tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh. Tetapi bagi mazhab Syafie, sekiranya   kanak-kanak tersebut menunaikan haji maka haji tersebut adalah sah dan dikira sebagai haji sunat. Ketiga, mestilah berakal dan tidak wajib bagi orang gila atau tidak waras. Keempat, mestilah merdeka dan tidak wajib bagi hamba menunaikan haji dan yang terakhir mestilah istito’ah yang bermaksud kemampuan untuk mengerjakan haji.
Kemampuan yang dimaksudkan ini ialah seseorang itu mestilah mampu untuk menanggung perbelanjaan dan nafkah pergi dan balik untuk dirinya. Selain itu, mestilah mampu meninggalkan nafkah untuk tanggungan yang ditinggalkannya. Mempunyai kenderaan pergi balik selain dari perjalanan yang aman. Kesihatan tubuh badan serta ada kesempatan masa juga diambil kira oleh Islam.
Setelah menghuraikan syarat-syarat haji ini penulis mendapati Allah s.w.t sebenarnya ingin mengajarkan umat Islam supaya patuh kepada arahan dan berdisiplin. Dari sudut falsafah, Islam sebenarnya tidak mahu umat manusia merasa beban dengan kewajipan ini. Daripada syarat-syarat tersebut Islam tidak menindas mereka-mereka yang lemah seperti kanak-kanak, orang gila dan juga orang-orang miskin. Islam juga menetapkan ibadat haji ini wajib dilaksanakan bagi mereka yang mampu hanya sekali sahaja seumur hidup.
Muhammad Uthman el Muhammady (2010) mengatakan sekiranya kita berbalik semula pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda sendiri menunjuk contoh dengan melaksanakan ibadat haji sekali sahaja. Walhal, sekiranya melihat kepada kemampuan baginda dan para sahabat  pada ketika itu mampu melaksanakan ibadat haji setiap tahun tetapi mereka hanya melaksanakan sekali sahaja. Falsafah Islam mengajar supaya umat Islam patuh kepada perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya supaya akan merasa mudah dan senang dalam melaksanakan ibadat-ibadat ini.

4.2              Semasa Mengerjakan Ibadah Haji
Setiap ibadat yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan. Ibadat haji khususnya bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram Sulaiman (1993).
Menurut Abdul Halim (1991), ibadat haji tidak memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang luar dari kebiasaan. Dalam erti kata lain, kita mesti keluar dari kelaziman dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara sendiri. Kita terpaksa berkhemah di Arafah dan Mina dengan pakaian putih di atas padang pasir membisikkan sesuatu kepada Allah s.w.t bagi memohon keampunan dan keredaan sebelum kembali kepada-Nya. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah sudah tentu mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Haj ayat 28 maksudnya:

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma’lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Imam Al-Ghazali menafsirkan hari ma’lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi (Ismail 1988). Imam Al-Ghazali menambah yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia. Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji.
Bagi penulis, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para jemaah haji semasa musim haji. Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah s.w.t sejajar dengan ayat di atas. Semasa melaksanakan ibadah haji ini Allah s.w.t sebenarnya langsung tidak memandang seseorang itu berdasarkan paras rupa, pangkat, darjat dan sebagainya. Inilah falsafah di sebalik ibadah haji yang dianggap sebagai kemuncak ibadah seseorang Muslim. Mereka yang memahami ibadat haji adalah seperti satu hasrat yang sangat besar untuk menemui Raja daripada segala Raja.
Iaitu jika tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai ibadat haji, yang bagi mereka suatu amalan yang tidak enak pada nafsu dan tidak akan mengerti oleh akal fikiran mereka akan falsafah di sebalik melemparkan batu jamrah, berlari-lari anak antara Safa dan Marwa itu. Kita  mesti mengetahui bahawa ibadat tawaf itu ibadat yang menyerupai para malaikat yang mengelilingi Arasy dengan jangan menjangkakan maksud tawaf itu keperluan jasad para jemaah untuk mengelilingi Kaabah semata-mata.
Menurut Imam Al-Ghazali maksud tawaf ialah tawaf kalbu dengan zikir mengingati Tuhan Yang Mempunyai Kaabah itu dan ketika beristilam (melambaikan tangan ke arah Batu Hitam, Hajar Aswad) hendaklah beriktikad bahawa kita sedang melakukan janji setia dan ketaatan kepada Allah dan kita yakinkan bahawa kita akan menunaikannya Ismail (1988).
Sementara ibadat Saie antara Safa dan Marwa membawakan falsafah ibadat yang begitu tinggi iaitu tidak sekadar memperingati peristiwa Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim yang berulang alik antara bukit Safa dan Marwa sebelum air zam-zam terbit di bawah hentakan kaki anaknya, Nabi Ismail. Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady (2010), Saie itu umpama mengharapkan belas kasihan daripada Allah iaitu pergi menghadap-NYA tanpa mengetahui ia mendapat penerimaan yang baik di sisi Tuhan atau sebaliknya. Malah Safa dan Marwa itu seolah-olah kita pergi berulang alik kepada dua neraca timbangan amal di padang Mahsyar. Safa umpama neraca kebaikan dan Marwa pula seolah-olah neraca yang sebaliknya, kita seolah-olah pergi dan datang antara azam dan keampunan," katanya. Sesungguhnya ibadat haji memerlukan seorang yang tidak sahaja berbekalkan makan minum sepanjang berada di Tanah Suci, tetapi yang mengetahui segala macam aspek ibadat, sekali pun dianggap remeh temeh.

5.0              KESIMPULAN
Di antara falsafah haji yang utama ialah haji merupakan rehlah rohaniah atau perjalanan suci berbanding perjalanan yang lain. Perjalanan ini amat penting dan amat lain dari perjalanan yang bersejarah seperti The Silk Road atau perjalanan Ibn Batutah yang terpateri dalam lipatan sejarah.
Ia juga bukan perjalanan seperti melancong ke tempat-tempat yang menarik tetapi perjalanan ini mempunyai pelbagai hikmah dan faedah yang boleh diambil. Di antara kelainan ialah para jemaah haji adalah tetamu Allah s.w.t. Tetamu ini mendapat jaminan Allah dan di antara keistimewaannya ialah orang yang menunaikan haji cukup dengan rukun dan tertibnya kerana Allah dijamin terhindar dari kepapaan. Jemaah haji yang pulang dari Mekah kebiasaannya dimuliakan oleh penduduk kampung masing-masing sebagai kemuliaan dari Allah SWT melalui mata manusia.
Selain itu, banyak kelainan yang dapat dilihat semasa menunaikan fardu haji di Mekah. Perasaan hiba dan kesyahduan selalu menyelubungi naluri dan jiwa insan yang bernama Adam dan Hawa. Mereka saling kuat berazam menunaikan ibadat, berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi lantaran panggilan Tuhan yang menusuk ke sudut hati hasil laungan azan.
Ibadat haji selain daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana ini. Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah.














6.0              RUJUKAN
           
Al-Quranul Karim
Abdul Halim El-Muhammady, 1991, Pendidikan Islam;Falsafah,Disiplin dan Peranan      Pendidik, Selangor Darul Ehsan : Dewan Pustaka Islam.
Anisah Bahyah Haji Ahmad 2006, Sejarah Pendidikan Zaman Rasulullah s.a.w, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ismail Yaakub, 1988, Ihya Ulumuddin Imam Ghazali terj. Kuala Lumpur: Victory
Agensi.

Mahayudin Hj. Yahya, 2005, Tamadun Islam, Selangor: Fajar Bakti.

Muhammad Abdul Wahab, 2000, Peribadi Dan Petunjuk Nabi Muhammad SAW,
            Kuala Lumpur: Jasmin

Muhammad Uthman el Muhammady, 2010, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat
Kebangsaan Kali Ke 20 Hingga 25 1425h Hingga 1430h, Terbitan Lembaga Tabung Haji.

Mustofa Al-Khin et.al, 2005, Kitab Fikah Mazhab Syafie (Al-Fiqhul Manhaji), terj. Kuala
Lumpur: Pustaka Salam.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006, Putrajaya : Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM).

Said Ramadan Al-Buti, 1988, Fiqh Al-Sirah terj. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.

Salim Bahreisy, 1980,  Sejarah Hidup Nabi-Nabi, Surabaya: Pt. Bina Ilmu.
Sulaiman Hj. Noordin. 1993. Sains, Falsafah dan Islam. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.

1 comments:

yassirquigley said...

CASINO ENCORE (BARONA BEACH) - Mapyro
CASINO ENCORE (BARONA BEACH) 의왕 출장샵 is a casino in South Pasadena, Illinois.Owner: SLS PropertiesOpening date: February 10, 2007; 28 years agoLocation: BARROWA RESORT, BARROWA Resort, Casino 원주 출장샵 Rating: 3.5 의왕 출장안마 · 순천 출장안마 ‎44 reviews · ‎Price range: 과천 출장샵 $$

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates