PENDAHULUAN
Salah satu fahaman yang sejak sekian lama telah merosakkan keimanan umat Islam ialah sekularisme. Sekularisme merupakan fahaman yang selalu dikaitkan dengan kehidupan duniawi. Fahaman ini menyusup masuk dengan cukup halus ke dalam ruang kehidupan umat Islam dengan cara menciptakan pelbagai masalah kepada masyarakat Islam. Secara tidak sedar masalah-masalah tersebut akhirnya telah merosakkan pemikiran dan akhlak umat Islam. Sebagai contoh, golongan sekularisme telah memisahkan hal agama dari sudut ekonomi dan akhirnya berlakulah amalan riba yang mana umat Islam sendiri telah tertindas (S.S. Husain & S.A Ashraf. 1989).
Menurut Abdul Halim (1989), apa yang membimbangkan terhadap umat Islam ialah apabila kemasukan unsur-unsur sekularisme yang dimulai di zaman Renaissance hingga ke zaman moden ini mula meresap ke dalam lapangan pendidikan. Keadaan ini akhirnya telah menyebabkan umat Islam lupa bahawa mereka mempunyai agama, sejarah dan pelbagai sendi kehidupan yang sangat bernilai untuk dipegang. Selain itu, fahaman sekularisme mengambil kesempatan ini untuk menukar corak pentadbiran dalam bidang pendidikan, syariat, politik, ekonomi, ideologi, tingkah laku dan tindakan kepada corak sekular. Tujuannya ialah agar kita menjauhkan diri daripada Islam.
Justeru, perbincangan ini akan mengupas isu sekularisme yang sedang melanda umat Islam kini terutamanya dalam bidang pendidikan di Malaysia supaya isu-isu sebegini tidak dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Penulis akan mengupas bahayanya sekularisme dalam dunia pendidikan terutamanya kesan kepada Pendidikan Islam kerana Pendidikan Islam merupakan tunjang kebahagian dan kesejahteraan untuk umat Islam.
Perbincangan pertama akan menghuraikan pengertian sekularisme serta konsep dan prinsip sekularisme. Perbincangan kedua pula akan membincangkan mengenai pertentangan antara Islam dengan sekuraisme. Perbincangan yang ketiga pula adalah mengenai kesan pengaruh sekularisme terhadap Pendidikan Islam. Justeru, perkara utama dalam perbincangan ini adalah kesan sekularisme terhadap Pendidikan Islam. Penulis mendapati banyak kesan negatif hasil daripada pengamalan sistem pendidikan yang berteraskan sekularisme ini.
Pengertian Sekularisme
Menurut Ghazali (1998), istilah sekularisme berasal dari bahasa Latin Secular ertinya satu zaman (engage) juga bermaksud satu generasi yang merujuk kepada masa dan tempat. Secularist bermaksud hubungan dengan sesuatu masa tertentu. Manakala seculum bererti hal-hal yang berhubung dengan zaman sekarang sedangkan agama merupakan hal-hal yang berkaitan dengan hari kemudian. Sekularisme ialah satu ideologi atau fahaman yang menghapuskan kepercayaan kepada Tuhan manakala sekularisasi pula membawa makna satu proses pemecahan dan fahaman masalah-masalah dunia ini mengarahkan kecerdasan dan ratio semata-mata.
Manakala Yusuf Qardawi (1999) mengatakan sekular dalam Bahasa Arab diterjemahkan sebagai ‘al-la Diniyyah (tanpa agama) atau al-Dunyamiyah (keduniaan). Makna yang lebih khusus ialah “perkara yang tidak ada kaitan dengan agama” ataupun “perkara yang hubungannya dengan agama adalah berlawanan”.
Wan Mohd Nor (2005) mengatakan Syed Muhammad Naquib Al-Attas menganggap bahawa sekularisme adalah faham kekandasan, iaitu penumpuan pada zaman sekarang dan ruang kehidupan duniawi. Bagi manusia sekularis tidak ada ‘nanti’ (hari akhirat) dan tidak ada ‘sana’ (kehidupan ukhrawi) atau sekurang-kurangnya tidak mempedulikannya. Menurut mereka yang wujud hanya alam fizikal ini dan dengan demikian mereka menolak realiti-realiti metafizik.
Manakala pandangan Muhd. Nur Manuty (1984), di mana beliau telah mengupas istilah sekular daripada sudut barat serta sekular dalam bentuk pengetahuan dan amalan dalam Islam. Istilah sekular dari sudut pendidikan, seni (muzik), sejarah, sastera dan lain-lain, ianya membawa maksud pendidikan yang tidak berhubung dengan agama atau mengecualikan pengajaran agama dari pendidikan. Beliau telah membahagikan sekular dari sudut negatif dan positif.
Dari sudut negatif apabila sekular diamalkan, langsung tidak mempunyai hubungan dengan kerohanian (lebih kepada duniawi) dan juga bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Manakala sekular yang positif pula ialah yang dibolehkan dalam Islam, contohnya seseorang yang melakukan kerja yang dicampur dengan fahaman ini untuk membolehkan ia menunaikan ibadah kepada Allah s.w.t.
Daripada pandangan Ghazali (1998), Yusuf Qardawi (1999), Wan Mohd Nor (2005) dan Muhd. Nur Manuty (1984), penulis menyimpulkan bahawa sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan kehidupan dunia dengan akhirat dalam semua aspek. Sama ada memisahkan hal agama, pendidikan, politik, sosial dan sebagainya. Selain itu, sekularisme juga memperjuangkan hak untuk bebas dari peraturan dan ajaran agama dan juga tidak memberi keistimewaan terhadap mana-mana agama. Dengan kata lain, sekularisme merujuk kepada kepercayaan bahawa kegiatan dan keputusan yang dibuat oleh manusia, terutamanya yang berkaitan politik, harus berdasarkan bukti dan fakta bukannya pengaruh agama
Dari sudut pendidikan pula, penulis berpendapat fahaman sekularisme ini ingin mendidik para pelajar ke arah material dan keduniaan. Setiap proses pembelajaran mestilah tertumpu kepada hal duniawi sahaja dan langsung tidak mengaitkan dengan hal keagamaan. Contohnya kita boleh melihat kepada sistem pendidikan di Malaysia di mana mementingkan pelajar-pelajar aliran sains dan meminggirkan pelajar-pelajar aliran agama. Mereka yang berada di aliran sains banyak diberikan keistimewaan seperti biasiswa, peluang pekerjaan dan sebagainya.
Konsep Dan Prinsip Sekularisme
Ismail R. Al-Faruqi (1978) telah mengklasifikasikan konsep sekular seperti berikut :
i. Suatu fahaman yang merujuk kepada penafian terhadap hal-hal kerohanian.
ii. Penolakan terhadap kewibawaan unsur-unsur kerohanian .
iii. Penafian tentang adanya hidup yang tetap (akhirat).
iv. Pemisahan di antara agama dan nilai kerohanian dengan pemerintahan dan kehidupan keduniaan.
v. Kekuasaan sebagai kebebasan mutlak untuk merencana dan menyusun dasar hidup manusia seterusnya melaksanakannya sendiri tanpa apa-apa pergantungan dan hubung kait dengan Tuhan.
vi. Gereja dan institusi agama hanya terbatas kepada perkara-perkara yang berhubung dengan masalah ketuhanan sahaja.
Syed Naquib Al-Attas (1980) pula menjelaskan prinsip sekularisme seperti berikut :
i. Aliran ini hendak memperbaiki hidup insan dengan cara material sahaja.
ii. Menyatakan kebenaran keduniaan (secular) adalah terbebas dari ajaran wahyu dan kenabian.
iii. Ilmu sekular bebas dari prinsip-prinsip dan disiplin ilmu itu sendiri dan ia boleh diuji melalui fikiran dan pengalaman seperti ilmu-ilmu matematik, fizik, kimia dan lain-lain.
iv. Kesejahteraan hidup di dunia tidak perlu dirujuk kepada dasar-dasar lain seperti agama dan wahyu. Dalam mencapai ilmu, fikiran dan pengalaman sumber utamanya ialah akal.
PERTENTANGAN ANTARA ISLAM DAN SEKULARISME
Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972) sekularisme dan Islam saling bertentangan kerana ia menafikan syariat Allah s.w.t. Di dalam Islam tiada pemisahan antara dunia dan akhirat. Tetapi fahaman sekular menetapkan hanya dunia semata-mata dan menganjurkan kebebasan insan mengubah akidah dan nasib insan sendiri dan menentang sebarang ketetapan dalam agama. Islam wujud dalam kerangkanya melalui penjelasan dalam al-Quran dan as-Sunnah khasnya Islam bersumberkan dari wahyu. Sedangkan sekularisme bersumberkan kepada idea-idea akal dan institusi manusia.
Istilah sekular iaitu memisahkan duniawi dan ukhrawi tidak pernah wujud dalam Islam umpamanya memisahkan kehidupan manusia dengan unsur-unsur wahyu Ilahi. Sekularisme adalah satu konsep yang asing bagi Islam. Ajaran Islam berasaskan kepada tauhid, kerangkanya daripada ibadat, akhlak dan ihsan. Hiasannya pula dari pelbagai disiplin ilmu kemanusiaan dan bumbungnya dari terbinanya sebuah negara Islam (Wan Mohd Nor 2005).
Menurut Muhd. Nur Manuty (1984) syariat Islam terbentuk oleh al-Quran, as-Sunnah dan ijmak’ sahabat sebagai persekitarannya. Dengan itu, ia bermaksud Islam merupakan suatu panduan dalam ilmu dan seluruh kehidupan manusia. Konsep tauhid Islam tidak mengenal konsep dualisme kerana Islam tidak menganggap sesuatu itu sebagai sekular. Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa pemahaman Islam sebagai al-Din adalah penting untuk menangani masalah sekularisme. Islam bukanlah semata-mata terserlah pada ibadat yang nyata atau urusan peribadi yang tidak merangkumi seluruh kegiatan hidup manusia.
KESAN PENGARUH SEKULARISME TERHADAP PENDIDIKAN ISLAM
Seperti yang sedia maklum, pendidikan sekular dan pendidikan materialistik pada hari ini telah terbukti gagal melahirkan manusia yang mempunyai keperibadian yang utuh, iaitu seorang Abidus Soleh yang muslih. Kegagalan membentuk manusia dengan visi dan misi penciptaannya merupakan qorinah (indikasi) utama kelemahan sistem pendidikan yang sedia ada (Ghazali Basri 1984).
Oleh yang demikian, dalam perbincangan seterusnya penulis akan membahaskan mengenai kesan sekular terhadap falsafah dan matlamat pendidikan Islam di Malaysia. Hal sebegini amat penting untuk dibahaskan agar semua pihak yang berkepentingan dalam dunia pendidikan sedar mengenai kesan dan bahayanya sekularisme terhadap dunia pendidikan. Pengancaman terhadap pendidikan Islam perlu ditepis bagi memastikan dunia Islam tidak menerima bala dan azab Allah s.w.t.
Pengertian Pendidikan Islam
Menurut Ghazli Basri (1986), Pendidikan Islam merupakan perkara yang penting untuk mencapai kesejahteraan dan kesempurnaan hidup manusia. Ia menjadi asas dalam membina ilmu pengetahuan bagi membentuk diri dan masyarakat yang lebih dinamik serta terdidik dari sudut fizikal dan spiritual.
Abdul Halim el-Muhammady (1994), Pendidikan Islam boleh diertikan sebagai proses mendidik dan melatih akliah, jasmaniah, dan rohaniah manusia. Ia berasaskan nilai-nilai Islamiah yang bersumberkan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w bagi melahirkan insan yang bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.
Manakala Anisah Bahyah (2006) menyatakan pendidikan dari perspektif Islam mempunyai pengertian yang mendalam dan menyeluruh yang merangkumi proses melatih akliah, jasmaniah dan rohaniah yang berasaskan ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai pegangan utama kehidupan.
Perutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul merupakan titik permulaan kepada satu era baru dalam bidang pendidikan Islam. Pendidikan bersepadu telah diamalkan sejak zaman nabi Muhammad s.a.w dengan al-Quran dan as-Sunnah dijadikan panduan dan sumber ilmu. Pendidikan yang berpaksikan konsep tauhid telah dinyatakan dengan jelas dari segi matlamat dan konsep yang mendasarinya (Ghazali Basri 1987).
Hasil daripada pandangan tersebut dapatlah ditegaskan bahawa Pendidikan Islam ini terdapat pengasas dan penyebarnya kepada manusia iaitu Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi segala apa yang dibawa dan disebarkan oleh Rasulullah s.a.w itu juga bukan datang dari pemikiran atau rekaan Rasulullah s.a.w sendiri tetapi ia datangnya dari Allah s.w.t.
Falsafah Pendidikan Islam
“Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat” (KPM, 2005).
Menurut Abdul Halim El-Muhammady (1994), pendidikan Islam di Malaysia merangkumi dalam semua bidang ilmu di peringkat rendah dan menengah di samping mendalami bidang ilmu secara khusus. Pendidikan Islam ini dilaksanakan secara integrasi bukannya secara serpihan dan sampingan. Pendekatan pendidikan Islam menekankan aspek teori dan amali supaya para pelajar akan menjadi insan yang kamil selaras dengan falsafah pendidikan Islam.
Berlandaskan falsafah Pendidikan Islam, Pendidikan Islam mempunyai matlamat untuk membentuk dan memperkembangkan insan supaya menjadi Muslim yang kamil, syumul, berilmu, beriman, berperibadi mulia dan menghayati Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunah. Dengan falsafah ini, sepatutnya pelajar bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan, bahkan mereka dapat menghayati ajaran al-Quran, memahami tuntutan agama dan tanggungjawab mereka terhadap Allah, mengamalkan akhlak dan cara hidup Islam dan menunjukkan sifat sopan dalam pergaulan dan perhubungan dengan orang lain (Daud & Kamariah 1997).
Daripada pandangan sarjana tersebut, jelas bahawa secara lahiriah, pendidikan Islam adalah untuk membawa manusia menjadi insan yang kamil yang mana telah dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada mereka kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
Sekularisme Penghalang Kepada Matlamat dan Falsafah Pendidikan Islam
“Matlamat pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal salih dan berakhlak mulia berdasarkan al- Quran dan al-Sunnah ke arah menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa” (KPM, 2005).
Menurut Rosnani (Ghazali Basri 2002), matlamat utama Pendidikan Islam ialah untuk melahirkan insan yang baik, melalui perkembangan segala potensinya secara seimbang, membolehkannya menjadi hamba dan khalifah Allah yang berkemampuan untuk memikul amanah bagi memelihara kesejahteraan bumi ini.
Persidangan Muslim Pertama yang diadakan di Jeddah pada 31 Mac hingga 8 April 1977 telah menyetujui mengenai matlamat pendidikan Islam adalah meliputi perkembangan yang seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan kerohanian, intelek, rasional, perasaan dan indera. Sumber kepada pendidikan berkenaan adalah ilmu wahyu dan akal (Rosnani 2001).
Menurut al-Syaibani (1991), matlamat pendidikan Islam juga untuk melahirkan insan Muslim yang mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupannya di dunia dan akhirat, seperti firman Allah s.w.t di dalam surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud:
“Tuntutlah kehidupan akhirat dengan apa yang telah dikurniakan kepadamu tetapi jangan lupa bahagianmu di dunia” .
Dilihat dari sudut berbeza, Islam mampu membentuk manusia menjadi umat yang terbaik, malah membina tamadun yang tinggi sekiranya semangat ajaran Islam benar-benar dihayati, difahami serta dituruti. Di Malaysia, Islam amat berkait rapat dengan orang Melayu, majoriti Muslim di negara ini adalah orang Melayu, perlembagaan negara juga menetapkan orang Melayu mestilah orang Islam.
Tetapi dalam hal ini, sekularisme telah memberi banyak memberi kesan buruk kepada akidah orang Islam serta terpesong dari landasan Falsafah Pendidikan Islam. Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa berkata, tiada kajian empirikal menunjukkan umat Islam tidak memberi perhatian terhadap agama mereka. Bagaimanapun setelah dilihat secara umum, memang terdapat ramai umat Islam yang berkelakuan bertentangan dengan agama (Noorzila, 2006).
Selain itu, beliau berpendapat bahawa umat Islam tidak begitu mengambil berat tentang larangan-larangan agama Islam, lihat sahaja statistik berkaitan dengan penagihan dadah, jelas sekali majoriti mereka kalangan orang Melayu. Sekiranya mereka benar-benar prihatin dengan ajaran agama Islam, sepatutnya mereka tidak terlibat, sebaliknya keadaan ini menggambarkan seolah-olah mereka begitu tidak menghiraukan larangan-larangan agama. Malah ada sesetengah perlakuan mereka menunjukkan mereka tidak takut dengan ancaman neraka. Mereka juga tidak terpanggil dengan tawaran keselesaan kehidupan syurga, jadi sejauh mana komitmen mereka terhadap hari akhirat? (Noorzila, 2006).
Ini adalah satu contoh yang membolehkan kita membuat kesimpulan untuk menyatakan mereka tidak sayangkan agama. Jika mereka sayangkan agama, akan terpancar dengan melakukan suruhan dan menjauhi larangannya. Terlalu banyak laporan media berkaitan dengan kemerosotan akhlak di kalangan umat Islam, jenayah, perlakuan yang tidak senonoh, pecah amanah yang melibatkan institusi Islam dan sebagainya menggambarkan umat Islam tidak mempunyai komitmen yang jelas terhadap ajaran Islam serta Falsafah Pendidikan Islam hanyalah di atas kertas semata-mata (Daud 1989).
Tetapi harus diingat, dalam mengejar kepentingan keduniaan, Al-Quran memperingatkan manusia agar tidak terperangkap dengan nikmat-nikmat dunia. Ini menjelaskan di dalam firman Allah s.w.t bermaksud:
“Katalah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta (berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda, dan anak-pinak, semuanya terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang hijau) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu tempat masa yang tertentu)”.
( Surah Al-Hadid : 20)
Ini menimbulkan implikasi yang negatif kepada Falsafah Pendidikan Islam sendiri, nilai-nilai keduniaan menjadi terlalu utama. Islam akan menjelma sebagai agama anutan dan ibadah semata-mata. Ini akan membawa pengertian bahawa agama Islam akan setara dengan agama-agama lain yang hanya mengandungi upacara ritual dan manusia tidak mempunyai tanggungjawab keagamaan terhadap dunianya. Di Barat, agama hanya berperanan di dalam gereja, hari Krismas, hari Ahad, kematian dan pengebumian. Di luar daripada urusan-urusan di atas, agama tidak berfungsi lagi. Benarlah kata-kata ahli falsafah dan penyair Jerman, Fiedrich Nietzsche bahawa setidak-tidaknya untuk dunia Barat, Tuhan itu telah mati (Amini 2004).
Jelaslah bahawa sekularisme telah menghalang matlamat dan fungsi falsafah pendidikan Islam di Malaysia. Banyak contoh-contoh negatif yang dipaparkan adalh berkaitan dengan orang Melayu yang beragama Islam. Falsafah Pendidikan Islam hanya termaktub di atas kertas sahaja. Matlamat dan fungsinya tidak tercapai akibat daripada pengaruh sekularisme yang begitu kuat di dalam sistem pendidikan di Malaysia ini. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pendukung-pendukung pendidikan Islam.
Sekularisme Penghalang Kepada Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran
Pendidikan Islam
Sistem pengajaran dan pembelajaran juga tidak ketinggalan dalam di pengaruhi kefahaman sekularisme di mana pihak Barat telah menggunakan sistem pengajaran dan pendidikan sebagai salah satu medium atau saluran utama umat Islam. Natijahnya, berlaku perubahan terhadap moral umat Islam sehingga menjadi lemah, lupa diri dan jahil mengenai kekuatan diri dan keupayaan sendiri, serta merasa rendah diri sehingga menjadi mundur dan keterpinggiran. Umat Islam telah hilang personaliti dan kedinamikan serta menjadi pelajar yang sentiasa patuh kepada pengaruh sekularisme dan barat (Mohd Kamil 2002).
Menurut Abdul Halim El-Muhammady (1991), dalam sistem pengajaran dan pembelajaran ini, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan Barat ditubuhkan di negara-negara umat Islam dengan bermatlamat mengambil kanak-kanak Muslim yang masih lembut ubun-ubun untuk dibentuk dan ingin menjadikan mereka menjauhkan diri daripada ajaran agama Islam. Maka akhirnya lahirlah golongan Muslim yang semakin mengagumi tamadun Barat dan merasa rendah diri serta kurang selesa dengan tamadun Islam dan nilai-nilai ketimuran. Sistem pendidikan Malaysia diperkukuhkan melalui sekolah-sekolah moden Barat dan caranya melalui buku teks, kurikulum, dan pemikiran guru-guru yang lebih cenderung kepada pemikiran Barat termasuklah kefahaman sekular.
Dalam konteks ini juga, Abdul Raof Dalip (1987) mengatakan, atas dasar untuk pemodenan dan pembaratan beberapa negara umat Islam seperti Turki dan Mesir telah menghantar pelajar-pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan ke dunia Barat terutama Eropah. Pada peringkat ini, tumpuan utamanya dalam bidang pengajian sains dan sosial dan kesusasteraan sehingga akhirnya membentuk golongan manusia yang berfikiran Barat, nilai, neraca, cita rasa, aliran dan tingkah laku kebaratan. Akhirnya golongan Muslim ini sekembalinya ke tanah air kecuali mereka yang di pelihara Allah s.w.t. dikenali sebagai manusia celupan Barat, fahaman sekular dan tidak beragama. Golongan ini secara rasminya tidak menukar nama atau agama tetapi pemikiran mereka telah mengalami perubahan yang berlandaskan kepada pengaruh dalam tamadun Barat.
Nilai dan pandangan hidup mereka terhadap agama, kehidupan manusia, masa lampau dan pada kini nyata berbeza. Malah pandangan mereka terhadap sistem perundangan ,budi pekerti, dan budaya yang menjadi ruang lingkup peraturan kehidupan sudah berubah. Ini dapat dilihat melalui tingkah laku, akhlak serta pemikiran-pemikiran mereka melalui tulisan-tulisan yang dihasilkan. Golongan ini berfahaman sekular iaitu memisahkan agama adat sesuatu yang berunsur transenden dengan kehidupan dunia manusia (Mohd Kamil 2002).
Secara umumnya, sistem pengajaran dan pendidikan Barat telah melahirkan segolongan masyarakat tempatan yang menerima sistem pendidikan Barat sebagai perantara dalam proses kemasukan dan perkembangan pengaruh Barat, terutamanya di Malaysia. Oleh sebab pendidikan di Malaysia berpaksikan Barat, kaedah, teknik dan strategi juga berpaksikan kepada teori-teori pendidikan Barat akhirnya ia memberi kesan kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam turut terjebak dengan teori-teori Barat yang mana ia menghasilkan para pelajar yang pandai menjawab soalan peperiksaan tetapi tidak tahu untuk beramal dengan agama Islam. Hal sedemikian menyebabkan para pelajar semakin jauh dengan pengamalan agama Islam dan hidup berpaksikan sekular.
KESIMPULAN
Kesimpulan yang mudah difahami ialah sekularisme dan Islam saling bertentangan kerana ia menafikan syariat Allah s.w.t sebagai syumul, lengkap dan sesuai sepanjang masa di sebarang tempat. Di dalam Islam, tiada pemisahan antara dunia dan akhirat kerana manusia dicipta oleh Allah s.w.t di dunia untuk mencari bekalan di akhirat kelak. Dalam dunia pendidikan terutamanya Pendidikan Islam, sekularisme telah menghalang Pendidikan Islam dalam mencapai matlamatnya.
Perkara ini berpunca dari beberapa isu utama. Pertama, paradigma pendidikan yang salah. Dalam sistem kehidupan sekular, dasar penyelenggaraan pendidikan juga adalah berasaskan sekular dan tujuan pendidikannya adalah hasil dari fahaman sekularisme tadi. Maka, yang terbentuk sekadar manusia yang berfahaman materialistik dan serba individualistik.
Kedua, kelemahan fungsi penggerak pada tiga unsur pelaksana pendidikan, iaitu lemahnya lembaga pendidikan yang tergambar dari kekacauan kurikulum, tidak optimumnya peranan dan fungsi guru, tidak terlaksana proses pembelajaran secara baik serta berkembangnya budaya sekolah yang tidak sesuai dengan kehendak Islam, kondisi pendidikan keluarga yang tidak mendukung dan keadaan masyarakat yang tidak kondusif.
Ketiga, apabila kelemahan pada unsur masyarakat terjadi akibat dari berkembangnya sistem nilai sekular yang zahir pada tata pergaulan seharian yang bebas dan acuh tak acuh pada norma agama, pergaulan bebas, berita media masa yang cenderung mempropagandakan hal-hal negatif seperti pornografi dan kekerasan serta tiada contoh teladan yang baik pada masyarakat. Lemahnya unsur Pendidikan Islam dalam keluarga dan masyarakat ini akhirnya lebih banyak membawa pelbagai pengaruh negatif pada pelajar dan mahasiswa. Maka yang terjadi kemudiannya adalah pengaruh negatif kepada keperibadian pelajar.
Amat jelas sistem pendidikan negara dilitupi dengan fahaman sekularisme. Pendidikan Islam yang terdapat di dalam sistem pendidikan negara sekadar pelengkap mata pelajaran untuk peperiksaan semata-mata. Fungsinya untuk membentuk insan kamil terbantut kerana kesan daripada fahaman sekularisme.
RUJUKAN
Abdul Halim El-Muhammady. 1994. Pendidikan Islam Di Malaysia, Jurnal Pendidikan
Islam, Jilid 7, Selangor: UKM.
Abdul Halim El-Muhammady.1991. Pendidikan Islam; Falsafah, Disiplin dan Peranan Pendidik,
Jurnal Pendidikan Islam, Selangor: UKM.
Abdul Halim Hj Mat Diah. 1989. Pendidikan Islam Di Malaysia Sejarah Dan
Pemikiran, Jurnal Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: ABIM.
Ahmad Mohamad Said. 1999. Islamisasi Pendidikan: Peranan Pendidik, Jurnal
Pendidikan Islam, Jilid 8, Selangor: UKM.
Amini Amir Abdullah. 2004. Islam Hadhari Menyanggah Prinsip Sekularisme.
Majalah Al-Islam, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad.Oktober 2004(32-34).
Anisah Bahyah Haji Ahmad. 2006. Sejarah Pendidikan Zaman Rasulullah s.a.w, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia,
2005. Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur.
Daud Norakit. 1989. Cabaran Pengetahuan Dan Pengalaman Ajaran-Ajaran Islam
Terhadap Guru-Guru 1990-An, Jurnal Pendidikan Islam Jilid, Petaling Jaya,
Selangor: ABIM.
Daud Norakit dan Kamariah Abu Bakar. 1997. Pendidikan Islam Dan Sains Emprikal,
Jurnal Pendidikan Islam Jilid 7, Petaling Jaya, Selangor: ABIM.
Ghazali Bin Basri. 1984. Konsep Dan Pengertian Pendidikan Menurut Prespektif Islam, Jurnal
Pendidikan Islam, Selangor: ABIM.
Ghazali Basri. 1986. Pendidik Islam: Cabaran Perlaksanaannya Dan Peranan Guru,
Jurnal Pendidikan Islam Bil. 4, Kuala Lumpur: ABIM.
Ghazali Basri 1987, Peranan Pendidik Dalam Pembentukan Ummah, Jurnal Pendidikan
Islam Bil. 6, Kuala Lumpur: ABIM.
Ghazali Bin Basri. 2002. Pendidikan Awal Berasaskan Fitrah: Memperjelaskan Arah Tuju Dan
Mengembeling Usaha Memenuhi Tuntutan, Jurnal Pendidikan Islam, Selangor:ABIM.
Ghazali Darusalam.1998. Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Kuala Lumpur: Utusan
Publication dan Distributors Sdn. Bhd
Hasnan Kasan. 2002. Penyimpangan Sosial dan Kesannya Terhadap Masyarakat Islam
Malaysia: Satu Penilaian Menurut Islam, Jurnal Pendidikan Islam Jilid 10,
Selangor: Kolej Dar al-Hikmah.
Ismail R. Al-Faruqi. 1978. Islam Dan Agama Lain, Dalam Altaf Gauhar : Tantangan
Islam (terj.), Bandung: Penerbit Pustaka.
Noorzila Jamaluddin. 2006. Orang Melayu Tidak Ke Mana Jika Tinggalkan Agama,
Majalah Al-Islam, Utusan Melayu (M) Berhad: Kuala Lumpur. September 2006(30-32).
Rosnani Hashim. 2002. Dualisme Pendidikan Umat Islam di Malaysia : Sejarah,
Perkembangan dan Cabaran Masa Depan, Jurnal Pendidikan Islam, Jilid 10, Selangor : ABIM
S.S. Husain dan S.A Ashraf. 1989. Krisis Dalam Pendidikan Islam, Dewan Bahasa dan
Pustaka : Kuala Lumpur.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1972. Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan
Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas.1980. The Concept Of Education In Islam : A
Framework For An Islamic Philosophy Of Education, Kuala Lumpur : Muslim Youth Movement Of Malaysia (ABIM).
Wan Mohd Nor Wan Daud. 2005. Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam Syed M.
Naquib Al-Attas Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Yusuf Al-Qardhawi.1999. Pertentangan Islam Dan Sekular, Selangor: Maktabah Al-Qardhawi